Quick Views

Tuesday, October 20, 2009

Haji Yang Mabrur.


Setiap daripada jemaah haji yang baru selesai menunaikan ibadat rukun Islam yang kelima itu, pasti berdebar-debar untuk pulang ke pangkuan keluarga tercinta sejak ditinggalkan lebih sebulan lalu, dan debaran hati mereka bertambah kuat setelah melalui ujian getir ketika berada di tanah suci Makkah dan Madinah.

Setiap daripada jemaah haji yang baru selesai menunaikan ibadat rukun Islam yang kelima itu, pasti berdebar-debar untuk pulang ke pangkuan keluarga tercinta sejak ditinggalkan lebih sebulan lalu, dan debaran hati mereka bertambah kuat setelah melalui ujian getir ketika berada di tanah suci Makkah dan Madinah.

Pelaksanaan rukun-rukun haji telah pun selesai, ini bermakna mereka sudah boleh dilabelkan dengan gelaran haji di depan nama-nama mereka. Sesungguhnya gelaran haji itu merupakan satu penghormatan daripada manusia yang memanggil dengan gelaran itu. Ini kerana apabila seseorang itu bergelar haji, bertambahlah tanggungjawabnya terhadap masyarakat.

Sekurang-kurangnya mereka boleh bertindak sebagai 'role-model' dengan menunjukkan perilaku yang baik, bertutur dengan kata-kata yang manis, menegur-sapa orang-orang di sekeliling tanpa ada syarat tertentu, berbudi bahasa dan jauh daripada sebarang penggunaan kata-kata kesat yang boleh menyinggung perasaan saudara-saudara seagama yang lain.

Tetapi apakah mungkin seseorang yang sudah bergelar haji atau hajjah melakukan sesuatu yang terbaik, lebih baik daripada sebelum mereka ke tanah suci?

Ia bergantung kepada sejauh mana jemaah haji mendapat pengajaran daripada setiap langkah, perbuatan dan amalan haji ketika berada di sana. Kerana semua amal ibadat dan rukun-rukun haji yang dilakukan sebenarnya ada kaitan dengan persoalan akhirat, iaitu satu keadaan di mana ia mampu mengingatkan manusia untuk berhubung dengan Allah SWT selaku Pemilik hari akhirat dan kiamat, yang akan menghukum kepada siapa sahaja yang tidak tunduk kepada arahan-Nya dan melakukan segala tegahan-Nya.

Justeru, sekembalinya para jemaah haji daripada tanah suci Makkah dan Madinah, apatah diiringi dengan haji mabrur yang diterima di sisi Allah SWT, bagaikan mereka baru keluar (dilahirkan) daripada perut ibu-ibu mereka iaitu tidak berdosa, ia satu keadaan di mana mereka berpeluang untuk menebus segala kesalahan-kesalahan lalu. Ini kerana manusia tidak sepi daripada melakukan dosa, apatah lagi terhadap Allah, Rasul-Nya, kepada kedua ibu bapa, guru-guru, jiran-tetangga, sahabat-handai dan lain-lain.

Apa yang penting setelah bergelar haji, elakkan daripada terlibat dengan banyak duduk di kedai-kedai kopi iaitu satu keadaan sebelum mereka menunaikan fardu haji dengan bersembang pada perkara yang tidak banyak boleh membantu mereka nanti di alam akhirat dan kiamat.

Mereka perlu memikirkan bagaimana untuk banyak duduk di dalam rumah-rumah Allah seperti masjid, surau atau di tempat-tempat ceramah yang boleh mengingatkan mereka untuk terus bersiap sedia dengan bekalan-bekalan akhirat, banyak membaca al-Quran, mendengar kuliah atau tazkirah, bercakap pada perkara yang boleh menambahkan pahala, bukan menambahkan 'koleksi' dosa.

Memilih kawan-kawan yang baik-baik, apatah lagi yang boleh mengingatkan mereka kepada Allah sepertimana yang ditegaskan Allah dalam al-Quran menerusi ayat 28 surah al-Kahfi yang bermaksud : �Dan jadikanlah dirimu sentiasa berdamping rapat dengan orang-orang yang mengingatkan kamu kepada Tuhan pada waktu pagi dan petang, yang mengharapkan keredaan Allah semata-mata; dan janganlah engkau memalingkan pandanganmu daripada mereka hanya kerana engkau mahukan kesenangan hidup di dunia; dan janganlah engkau mematuhi orang yang Kami ketahui hatinya lalai daripada mengingati dan mematuhi pengajaran Kami di dalam al-Quran, serta ia menurut hawa nafsunya, dan tingkah-lakunya pula adalah melampaui kebenaran.�

Begitu juga mengelak diri daripada menampilkan diri di khalayak ramai dengan penampilan yang tidak boleh dijadikan contoh seperti memakai gelang tangan, berseluar pendek, membiarkan isteri dan anak-anak gadis tidak menutup aurat dan bertudung ketika berada di luar rumah, tidak menyokong manusia yang suka mempersenda Islam, memakai pakaian yang bersesuai dengan taraf seorang yang bergelar haji, ini tidak lain bagi mengekalkan kelangsungan pahala-pahala haji untuk tahun-tahun mendatang.

Bagaimana boleh jadi seorang muslim yang baik?


Setiap insan bernama Islam, sama ada lelaki ataupun perempuan, berusaha meningkatkan diri dengan pelbagai amal ibadat yang boleh mendekatkan diri kepada Allah SWT. Ini kerana masing-masing mahukan diri mereka mendapat tempat yang terbaik di sisi Allah sebagai hamba-Nya yang taat dengan melakukan segala titah perintah-Nya dan meninggalkan segala tegahan dan larangan-Nya dengan penuh rasa rendah diri dan berserah diri kepada-Nya.

Justeru, mengetahui kaedah terbaik bagi tujuan di atas, adalah sesuatu yang amat digalakkan, agar setiap muslim dan muslimah mencapai status hamba Allah yang diterima di sisi-Nya. Antara kaedah berkenaan yang perlu diberi perhatian adalah seperti berikut :

-Melakukan solat lima waktu dengan baik

-Mengetahui sedalam-dalamnya bahawa meninggalkan solat dengan sengaja boleh membawa kepada kekufuran

-Melaksanakan seluruh hukum-hukum syariat Islam, bagi kaum muslimah, memakai hijab, kerana ia adalah arahan Allah dalam al-Quran, membaca al-Quran dengan memahami isi kandungannya.

-Mengkaji secara mendalam serta mentelaah sirah Nabi Muhammad s.a.w, sirah para sahabat Nabi, malah bagi muslimah, perlu memilih serta bercampur wanita-wanita solehah bagi menjamin pegangan dan akidah mereka.

- Sentiasa melakukan muhasabah diri, khususnya memerhatikan persiapan buat hari esok di akhirat dengan amalan, sumbangan kepada agama, perkara-perkara kebajikan buat umat Islam, menjauhi perkara yang menjadi kemurkaan Allah.

- Perbanyakkan program kebaikan yang membawa ketaatan kepada Allah dan banyak berdoa kepada Allah agar diri diberi petunjuk ke jalan kebenaran.

Mudah-mudahan kita sentiasa mendapat rahmat dan naungan daripada Allah agar boleh mati pada jalan yang diredai-Nya.- azm _

Keikhlasan tunai ibadat Haji perlu bermula dari rumah, tidak boleh riak.


Bersama Tabung Haji:
Oleh Zulkarnain Ali

TUNTUTAN ISLAM: Niat menunaikan haji mesti ikhlas bermula dari keluar rumah dan tidak boleh berniat selain daripada Allah.

Keikhlasan tunai ibadat perlu bermula dari rumah, tidak boleh riak

ISTILAH mabrur lebih mashyur di bibir masyarakat daripada mengetahui maknanya yang sebenar. Apakah yang dimaksudkan haji mabrur?

Ibn Kholawaih mentakrifkan al-Mabrur sebagai al-Maqbul iaitu diterima. Dan ada yang mengatakan sesuatu yang tidak bercampur dengan dosa. Kemudian, diabsahkan (tarjih) oleh Imam Nawawi dengan pendapat itu (tidak bercampur dosa).

Apabila merujuk kitab hadith yang muktabar seperti Sahih Bukhari, Imam Bukhari meletakkan bab yang khusus bertajuk ‘Kelebihan Haji Mabrur’, manakala Imam Muslim meletakkan perbincangan haji yang diterima di dalam bab ‘Iman kepada Allah Taala seafdal-afdal amalan’.

Ini berdasarkan dua riwayat utama, Abu Hurairah dan Aisyah Radiyallahu’anha iaitu:

Riwayat dari Abu Hurairah Radiyallahu’anhu:

“Ditanyakan kepada Baginda manakah amalan yang lebih afdal? Maka dijawabnya iman kepada Allah dan Rasulnya. Kemudian apa? Jihad di jalan Allah. Kemudian? Sabdanya: Haji yang mabrur (diterima).”

“Aku dengar Nabi bersabda: sesiapa yang menunaikan haji kerana Allah, kemudian tidak melakukan kerosakan dan tidak fasiq, maka dia akan kembali seolah-olah baru dilahirkan oleh ibunya (bersih daripada dosa-dosa)“.

Riwayat ‘Aisyah Radiyallahu’anha:

“Wahai Rasulullah, kami melihat jihad adalah seafdal-afdal amalan. Adakah kami perlu berjihad? Sabda baginda: Tidak, akan tetapi seafdal-afdal jihad ialah haji yang diterima (mabrur)“.

Bagaimana mencapai haji mabrur?

Secara umumnya, sebagai seorang yang taat kepada Allah dan Rasulnya yang ingin mencapai haji yang diterima di sisi Allah, hendaklah memenuhi kriteria berikut:

* Hajinya hendaklah ikhlas semata-mata kerana Allah dan tidak riak (menunjuk-menunjuk).

Imam Nawawi ketika menafsirkan hadith di atas dengan berkata;

“Mabrur (diterima) adalah baik hajinya. Dikatakan al-mabrur juga ialah haji yang tidak bercampur dengan dosa. Ada yang mengatakan tidak riak pada hajinya.”

Niat menunaikan haji hendaklah ikhlas bermula dari keluar rumah dan tidak boleh berniat selain daripada Allah seperti perasaan riak iaitu menunjuk-nunjuk atau sebagainya yang membawa kepada kemurkaan Allah.

Malah, Rasulullah mengajar kita dengan doa yang telah thabit di dalam hadisnya, antaranya doa ketika bermusafir:

“Ya Allah, Engkaulah Empunya permusafiran ini, dan khalifah bagi (menjaga) keluarga (ku), aku berlindung dengan-Mu dari keburukan permusafiran, kekaburan penglihatan, keburukan pada harta dan keluarga“.

* Semua perbelanjaan haji adalah berpunca daripada yang halal.

Di dalam Sahih Muslim ada hadith menyebut:

“Sesungguhnya Allah itu baik, dan tidak menerima kecuali yang baik-baik dan sesungguhnya Allah menyuruh orang mukmin mengikut apa yang diperintahkan oleh para utusan Allah. Kemudian baginda membacakan ayat al-Quran.

“Wahai sekalian Rasul, makanlah daripada (makanan) yang baik-baik (halal) dan beramal soleh. Sesungguhnya aku tahu apa yang kamu lakukan. Kemudian Rasulullah membacakan lagi:

“Wahai orang yang beriman, makanlah dari (makanan) yang baik-baik (halal) dari apa yang kami rezekikan” (Surah al-Baqarah 172).

Kemudian disebut, seorang lelaki bermusafir menadah tangan ke langit seraya berkata ‘Ya Tuhanku’ sedangkan punca makanan dari yang haram, minuman punca yang haram, pakaiannya punca yang haram. Bagaimana ia boleh diterima?”.

* Melakukan fardu haji sesuai dengan ditunjukkan oleh sunnah yang sahih.

Bermula dengan niat sehinggalah haji wada’ ditunjukkan oleh Baginda Rasulullah di dalam sunnahnya. Sebagai seorang Muslim yang sejati, kita wajar meneladani Baginda tanpa menambah ibadat yang tidak pernah dilakukan Baginda.
Melakukan ibadat haji sepenuhnya dengan taat tanpa mempertikaikannya.

Ali Radiyallahu’anh ketika ditanya perbuatannya mencium hajarul aswad, maka beliau menjawab “Kau hanya sebuah batu yang tidak mampu membawa mudarat dan faedah, kalau bukan kerana aku lihat Rasulullah mengucupnya, sudah aku tidak aku mengucupnya.” (Muttafaqun Alaih).

Ini jelas menunjukkan kita melakukan ibadat mengikut teladan yang ditunjukkan oleh Rasulullah tanpa menokok tambah berdasarkan akal semata-mata.

* Selepas menunaikan haji, berusaha pula melakukan badal (ganti) haji ayah dan ibu yang tidak berkemampuan menunaikan Haji.

Ini sesuai dengan hadis:

“Ya Rasulullah, sesungguhnya emakku telah bernazar untuk menunaikan haji, tetapi tidak ditunaikan sehingga dia meninggal dunia, adakah aku perlu menunaikan hajinya? Sabda Rasulullah: Ya, tunaikanlah haji untuknya. Adakah kau lihat jika emakmu berhutang engkau akan membayarnya? Jawab wanita itu: Ya. Sabda Nabi: Begitu juga (hutang) kepada Allah. Malah kepada Allah lebih layak dilunaskan (hutangnya)“. (Sahih Bukhari No Hadith 1720, 6771).

Adakah Haji Mabrur menghapuskan dosa yang besar?

Imam al-Munzir antara yang berpendapat mengatakan bahawa haji yang diterima diampunkan sekali gus dosa yang besar mengikut mafhum hadis berikut;

“Sesiapa yang menunaikan haji, kemudian tidak melakukan maksiat/dosa dan tidak fasiq, kemudian dia kembali seolah-olah seperti bayi yang dilahirkan oleh ibunya (suci tanpa dosa).“

Akhir sekali, marilah kita bersama-sama mendalami sebenar inti pati fardu haji. Semoga kita tergolong di dalam golongan orang diterima hajinya di sisi Allah Ta’ala. Dan kembalinya kita ke tanah air dari Makkah biarlah berdasarkan hadis yang telah disebutkan;

“Sesiapa yang menunaikan haji, kemudian tidak melakukan maksiat/dosa dan tidak fasiq, kemudian dia kembali seolah-olah seperti bayi yang dilahirkan oleh ibunya (suci tanpa dosa)”.

INTI PATI

* Niat menunaikan haji hendaklah ikhlas bermula dari keluar rumah dan tidak boleh berniat selain daripada Allah seperti perasaan riak iaitu menunjuk-nunjuk atau sebagainya yang membawa kepada kemurkaan Allah.
* Melakukan fardu haji sesuai dengan ditunjukkan oleh sunnah yang sahih.
* Semua perbelanjaan haji adalah berpunca daripada yang halal.
* Melakukan ibadat haji sepenuhnya dengan taat tanpa mempertikaikannya.
* Sesiapa yang menunaikan haji, kemudian tidak melakukan maksiat/dosa dan tidak fasiq, kemudian dia kembali seolah-olah seperti bayi yang dilahirkan oleh ibunya (suci tanpa dosa).

- Penulis adalah Pengurus (Hal Ehwal Haji Antarabangsa), Lembaga Tabung Haji.

Haji mabrur ditandai dengan kesannya,


Oleh MUHAMMAD HATIM

Allah s.w.t berfirman yang bermaksud:

“Sesungguhnya rumah ibadat yang mula-mula dibina untuk manusia (beribadah kepada Tuhannya) ialah Baitullah di Mekah yang berkat dan (dijadikan) petunjuk hidayah bagi umat manusia. Di situ ada tanda-tanda keterangan yang nyata (yang menunjukkan kemuliannya; di antaranya ialah) makam Ibrahim. Dan sesiapa yang masuk ke dalamnya, aman tenteramlah dia dan Allah mewajibkan manusia mengerjakan ibadat Haji dengan mengunjungi Baitullah, iaitu sesiapa yang mampu sampai kepadanya. Dan sesiapa yang kufur (ingkarkan kewajipan ibadat haji itu), maka sesungguhnya Allah Maha Kaya (tidak berhajatkan sesuatu pun) daripada sekalian makhluk.” (Ali-Imran: 96-97)

Daripada sekalian banyak ibadah, fardu haji adalah puncak ibadah ritual yang amat dicita-citakan oleh setiap umat Islam di seluruh dunia. Ia adalah sebagai saat pertemuan sejati kaum Muslimin untuk memenuhi panggilan Allah s.w.t dan merupakan kebahagiaan yang tidak terkira nilainya. Justeru pahalanya yang sangat besar, orang-orang yang mengerjakannya (haji) akan dianggap oleh Allah sebagai para tetamu-Nya.

“Orang yang beribadah haji dan umrah adalah tamu-tamu Allah. Dan adalah hak Allah untuk memuliakan para tamu-Nya serta mengurniakan mereka keampunan.” (maksud hadis)

Kebahagiaan itu akan lahir ketika mereka meginjakkan kaki ke Tanah Suci dengan mengunjungi Kaabah di Masjidil Haram sambil mengucapkan “Labbaik Allahumma Labbaik” (Ya Allah aku datang memenuhi panggilan-Mu). Sungguh indah pernyataan fitrah hamba kepada pencipta-Nya.

Allah s.w.t berfirman yang bermaksud:

“Demikianlah (ajaran Allah) dan sesiapa yang menghormati syiar-syiar agama Allah, maka (dialah orang yang bertakwa) kerana sesungguhnya perbuatan itu satu kesan daripada sifat-sifat takwa orang mukmin.” (Al-Hajj: 32)

Kaabah yang dikunjungi mengandung pelajaran dan pengajaran yang amat berharga dari segi kemanusiaan. Di sana, misalnya, ada Hijr Ismail yang erti harfiahnya “pangkuan Ismail”. Di situlah Ismail, putera Ibrahim, pendiri Kaabah ini, pernah berada dalam pangkuan ibunya yang bernama Hajar, seorang wanita miskin yang dikatakan pusaranya pun berada di tempat itu. Namun demikian, makna di sebaliknya, wanita ini ditempatkan Tuhan di situ untuk menjadi pengajaran dan peringatan kepada kita bahawa Allah s.w.t menganugerahkan kedudukan untuk seseorang bukan kerana keturunan atau status sosialnya, tetapi kerana hubungannya yang amat dekat kepada Allah s.w.t dan usahanya untuk hajar (berhijrah) daripada kejahatan (keburukan) menuju kebaikan.

Ibadah haji merupakan sumbangan Islam yang paling positif untuk melahirkan manusia-manusia yang ideal, bersatu hati dan bersatu amal, yang sebenarnya sering dicita-citakan oleh para ahli falsafah sejak dari zaman Plato, Al-Farabi, sampai ke zaman kita ini.

Kaum Muslimin yang pelbagai macam rupa bentuk dan warna kulitnya, kerencaman bahasanya, aneka lagak lakunya, semuanya berkumpul di Tanah Suci yang satu. Hilang segala perbezaan dan hapuslah segala keasingan, dan semuanya bersaudara bagaikan mereka daripada keluarga yang satu, bahkan lebih daripada itu, bagaikan tubuh yang satu, yang sama-sama merasakan derita dan bahagia, duka dan gembira. Keyakinan terhadap kemanusiaan yang bersifat sejagat, tiada perbezaan antara seorang Muslim dengan seorang Muslim yang lain, betapapun terdapat perbezaan antara mereka dalam pelbagai hal.

Tidak pula kurang pentingnya, ibadah haji mengembalikan kenangan kepada zaman hampir 50 abad (5000 tahun) yang lampau, iaitu perjuangan Nabi Ibrahim a.s. Bukankah baginda yang telah menghabiskan segenap usia untuk mengabdi kepada Allah, berpindah-randah mengembara dari Mesopotamia, sampai Palestina, terus ke Mesir, dan dengan berpusat di Tanah Suci Mekah, baginda meninggalkan bekas-bekas yang menjadi sejarah agung hingga sekarang?

Tiada yang diinginkan oleh mereka yang mengerjakan haji di Mekah melainkan keinginan yang amat tinggi untuk memperoleh haji yang mabrur. Dari segi bahasa, mabrur mempunyai dua makna. Pertama, bererti baik, suci dan bersih. Kedua, bererti diterima dan mendapat keredaan Allah s.w.t.

Dengan demikian, haji mabrur adalah haji yang membawa kebaikan kepada orang yang melakukannya. Menurut pendapat sebilangan ulama, haji mabrur adalah yang tidak bercampur dengan perbuatan dosa-dosa kecil, mahupun dosa besar. Orang yang memperoleh haji mabrur akan semakin kuat imannya serta semakin meningkat amal ibadatnya.

Daripada Abu Hurairah r.a, bahawa Rasulullah s.a.w bersabda yang bermaksud: “Daripada umrah ke umrah adalah penghapus dosa antara keduanya. Dan haji mabrur ada balasannya, iaitu syurga.” (Riwayat Bukhari dan Muslim)

Keunikan ibadah haji adalah kerana ia mencakupi seluruh dimensi ibadah itu yang memerlukan pengorbanan yang tinggi dari segi fizikal, harta dan jiwa. Justeru, tidak mudah untuk mendapatkan haji mabrur, sebagaimana yang dikatakan oleh Umar bin al-Khattab sekitar 1400 tahun yang lampau, iaitu hanya makan angin (melancong) yang banyak sedangkan yang melakukan haji hanya sedikit.

Maknanya, secara kuantiti, banyak orang yang mengerjakan haji tetapi secara kualiti sedikit saja yang benar-benar melakukan manasik (ibadat) haji dan memahami setiap amal ibadah haji sehingga memperoleh haji mabrur.

Dalam konteks haji, dikatakan ibadat haji yang lengkap memerlukan mujahadah, iaitu satu usaha yang bersungguh-sungguh untuk mencapai musyahadah (kesedaran), barulah dapat disebut haji mabrur. Kesedaran ini akan melahirkan al-mahadah, cinta yang satu, persiapan untuk berkorban apa sahaja kerana Allah s.w.t.

Ringkasnya, ibadah yang telah sampai pada peringkat musyahadah adalah ibadah yang telah melahirkan kesedaran mengubah dan membentuk perilakunya kepada sikap yang sesuai dengan nilai moral dan spiritual daripada ibadah itu.

Dalam ibadah haji, yang menjadi ukuran mabrur atau tidak adalah bergantung seberapa banyak amal ibadat haji yang telah dilakukan itu melahirkan kesedaran moral dan spiritual yang berupaya melahirkan semangat untuk melaksanakan kebaikan dan kebajikan. Dengan kata lain, seberapa jauh ibadah haji mendorong berlakunya perubahan pada diri kita, sehinggalah dapat mengubah daripada sikap negatif kepada sikap positif dan dari sikap tertutup kepada sikap keterbukaan.

Haji mabrur ditandai dengan kesannya, iaitu makna simbol-simbol amalan yang dilaksanakan di Tanah Suci, sehingga makna-makna tersebut wujud dalam bentuk sikap dan tingkah laku kita saban masa

Pakaian biasa ditanggalkan dan pakaian ihram dikenakan. Pakaian dapat melahirkan perbezaan, menggambarkan status sosial, di samping juga dapat menimbulkan pengaruh psikologi.

Menanggalkan pakaian biasa bererti menanggalkan segala macam perbezaan dan menghapuskan keangkuhan yang ditimbulkan oleh status sosial itu. Mengenakan pakaian ihram melambangkan persamaan darjat kemanusiaan serta menimbulkan pengaruh psikologi bahawa yang dalam keadaan demikianlah seseorang akan menghadap Allah pada saat kematiannya. Bukankah ibadah haji adalah kehadiran memenuhi panggilan Allah?

Apakah sekembalinya dari Tanah Suci, masih ada keangkuhan di dalam jiwa? Masih terasa adanya perbezaan darjat kemanusiaan? Masih ingin bersikap hipokrit, menindas orang lain? Masih mahu berpura-pura alim tetapi hakikatnya jahil. Kalau masih ada, maka kita masih mengenakan pakaian biasa dan masih belum menanggalkannya.

Seseorang yang pulang daripada menunaikan haji, bukan sahaja merasakan dirinya kembali kepada fitrah kesucian tetapi juga tumbuh dalam dirinya perasaan menjadi sebahagian daripada satu masyarakat dunia bernama Muslim. Suatu umat yang merapatkan barisan atas landasan tauhid yang menyatukan pemimpin dengan rakyat jelata, ulama dengan kaum dhuafa. Landasan tauhid juga menjadikan mereka bersaudara, misalnya, di antara orang Arab dengan orang Melayu, perantau China dengan mualaf Eropah, hamba Afrika dengan pedagang India, dan sebagainya.

Mercup di dada setiap jemaah haji bahawa dirinya adalah sebahagian daripada suatu kekuatan yang besar. Namun, apakah kekuatan itu dapat dipraktikkan seterusnya dalam kehidupan sehari-hari?

Apa saja tanda-tanda haji yang diterima (mabrur)?


Oleh Asy-Syaikh Shalih bin Fauzan al-Fauzan

Tanya:

Apa saja tanda-tanda haji yang diterima (mabrur)? Terangkanlah kepada kami, semoga Syaikh mendapat balasan yang lebih baik dari Allah subhanahu wa ta’ala.

Jawab:

Nabi bersabda yang artinya,

“Haji mabrur itu tidak ada balasannya kecuali surga.” (H.R. Bukhari)

Haji mabrur adalah haji yang diterima oleh Allah subhanahu wa ta’ala. Tanda-tandanya banyak. Di antaranya adalah hendaknya nafkah (biaya) haji tersebut dari hasil usaha yang halal karena nafkah menjadi poros penting dalam kehidupan manusia, terlebih lagi dalam urusan haji. Bahkan disebutkan bahwa jika seseorang naik haji dengan biaya dari hartanya yang halal, maka akan ada penyeru yang berseru, “Bekalmu halal dan kendaraanmu halal, maka hajimu pun mabrur.” Adapun jika dia berangkat haji dari harta yang haram, maka penyeru tadi akan berseru, “La labbaika wala sa’daika. Bekalmu haram dan nafkahmu haram, maka hajimu tertolak tidak mendapat ganjaran.” atau dengan seruan yang semakna. Jadi, di antara tanda-tanda haji mabrur adalah jika dikerjakandengan biaya dari nafkah dan usaha yang halal.

Begitu pula, di antara tanda-tandanya adalah jika orang yang berhaji mengerjakan manasiknya sesuai dengan tata cara yang disyari’atkan dan diinginkan tanpa mengurangi sedikitpun, dan menjauhi segala larangan Allah selama mengerjakan haji.

Di antara tanda-tandanya pula adalah jika orang yang berhaji itu kembali dalam keadaan pengamalan agamanya lebih baik daripada sebelum berangkat, yaitu dia kembali dalam keadaan bertaubat kepada Allah subhanahu wa ta’ala, istiqamah (konsisten) dalam menjalankan ketaatan-ketaatan kepada-Nya, dan terus-menerus dalam kondisi seperti itu. Dengan begitu, hajinya menjadi titik tolak baginya kepada kea rah kebaikan, dan selalu menjadi peringatan baginya untuk memeperbaiki jalan hidupnya.

Al-Muntaqa min Fatawa Syaikh Shalih bin Fauzan al-Fauzan II/145

((Disalin dari majalah Fatawa vol. 12/ Th. I/ 1424 H-2004 M))

APAKAH DIA HAJI MABRUR


APAKAH DIA HAJI MABRUR

Ihsan: Jabatan Mufti, Kerajaan Negeri Perlis



KAUM MUSLIMIN SIDANG JUMAAT YANG DIMULIAKAN,

Tajuk khutbah Jumaat kita pada hari ini ialah apakah dia haji mabrur. Alhamdulillah, syukur kita ke hadrat Ilahi kerana kita sedang berada pada hari yang mulia dan bulan yang berkat ini, menyambut Hari Raya Haji, sesungguhnya sangat bertuah bagi jemaah haji yang berada pada hari ini di Makkah al-Mukarramah setelah berada di Padang 'Arafah, tempat yang dipenuhi dengan rahmat dan berkat, tempat dimustajabkan doa. Merekalah yang benar-benar dapat merasakan betapa besarnya hikmah yang terkandung dalam ibadah haji.



KAUM MUSLIMIN SIDANG PENDENGAR YANG MULIA,

Kita semua sedia maklum bahawa ibadah haji merupakan satu rukun Islam yang lima dan satu kewajiban yang mesti ditunaikan.

Sabda Rasulullah S.A.W, maksudnya:

"Wahai manusia! Sesungguhnya Allah telah fardukan ibadah haji ke atas kamu, maka hendaklah kamu tunaikannya..."

HR Imam Bukhari).

Firman Allah S.W.T di dalam surah Ali 'Imran ayat 97:

Maksudnya:

"Dan Allah mewajibkan manusia mengerjakan ibadah haji dengan mengunjungi Baitullah, iaitu sesiapa yang mampu sampai kepadanya".

Kemampuan yang dimaksudkan menurut sebuah Hadith 'Az-Zaadu war-Raahilah', iaitu mempunyai bekalan yang cukup dan kenderaan yang boleh menyampaikannya ke Tanah Suci Makkah al-Mukarramah, dengan penjelasan ini maka tidak layak sama sekali bagi seseorang Islam yang berkemampuan untuk berdolak-dalik menangguhkan ibadah haji, seperti dia berkata belum sampai seru atau hendak menukar kereta baru atau hendak beli rumah baru dan sebagainya.

Sabda Rasulullah S.A.W,:

Maksudnya:

"Bersegeralah kamu menunaikan fardu haji kerana seseorang itu tidak tahu barang yang akan berlaku ke atasnya (mati)".

(HR Imam Ahmad)

Apa yang mendukacitakan ialah terdapat segelintir umat Islam yang berkemampuan, tetapi mereka lebih mengutamakan melancong ke tempat lain lebih dahulu daripada menunaikan fardu haji, seperti melancong ke Hong Kong, Paris, London dan lain-lain. Amatlah rugi bagi mereka yang berbuat demikian.



KAUM MUSLIMIN SIDANG JEMAAH YANG TERHORMAT,

Disamping kita berazam dan berdoa, marilah sama-sama kita berusaha dengan gigih agar dapat menunaikan ibadah haji dengan sempurna sehingga kita memiliki haji yang mabrur. Seorang manusia rasa bangga apakala dia disebut dengan tetamu di raja. Maka hamba Allah yang beriman berasa sungguh-sungguh bangga kiranya dia disebut dengan tetamu Allah, ketahulah bahawa orang yang pergi mengerjakan ibadah haji atau umrah, mereka adalah menjadi tetamu di raja bagi segala raja iaitu tetamu Allah (wafudullah).

Sabda Rasulullah S.A.W,:

Maksudnya:

"Orang-orang yang mengerjakan ibadah haji dan umrah ialah tetamu Allah. Jika mereka memohon doa Allah perkenankan. Dan jika memohon keampunannya Allah ampunkan".

(H.R. Imam An-Nasa'i).

Manakala wang ringgit yang dibelanjakan untuk menunaikan ibadah haji itu dijamin tidak rugi, bahkan mendapat keuntungan di dunia dan akhirat nanti.

Sabda Rasulullah S.A.W, maksudnya:

"Perbelanjaan yang dikeluarkan untuk mengerjakan ibadah haji sama seperti dibelanjakan pada perang fisabilillah, setiap wang ringgit yang dibelanjakan itu akan digantikan dan digandakan sebanyak tujuh ratus kali ganda."

(HR Imam Ahmad).



KAUM MUSLIMIN SIDANG JEMAAH YANG BERBAHAGIA,

Ketahuilah, bahawa haji mabrur akan dibalas di sisi Allah dengan syurga. Sabda Rasulullah S.A.W,:



Maksudnya:

"Kesalahan yang berlaku di antara umrah itu diampunkan, manakala haji mabrur pula tidak ada balasan baginya melainkan syurga".

(H.R. Imam Bukhari dan Muslim).

Difahamkan daripada Hadith tersebut bahawa ibadah umrah akan menghapuskan dosa, oleh itu kalau kita diberi kesempatan berumrah maka janganlah kita sia-siakan peluang itu, manakala haji mabrur pula telah dijanjikan dengan balasan syurga yang menjadi idaman oleh setiap orang Islam, untuk itu usahakanlah agar kita mendapat haji mabrur.

Kisah haji yang mabrur.


Perbincangan Dua Malaikat....

Ketika Abdullah bin Mubarak melakukan haji, beliau tertidur di Masjidil Haram, dalam tidurnya beliau bermimpi melihat dua orang malaikat turun dari langit. Berkata seorang malaikat kepada seorang lagi :

"Berapa ramai orang-orang yang mengerjakan haji pada tahun ini?"
Berkata malaikat yang seorang lagi : "Enam ratus ribu orang."

Bertanya malaikat yang bertanya :"Antara 600,000 ribu orang yang berhaji itu berapakah yang diterima haji mereka?"

Berkata malaikat yang menjawab : "Di antara 600,000 ribu itu hanya seorang sahaja hajinya diterima, namanya ialah Muwaffaq dia tinggal di Damsyik. Dia adalah seorang tukang kasut, dia tidak dapat berhaji tetapi hajinya diterima. Maka berkat haji Muwaffaq kesemua 600,000 yang mengerjakan haji diterima."

Abdullah yang sedang tidur terkejut dari tidurnya maka dengan segera dia berangkat ke Damsyik, sampai sahaja dia di Damsyik dia mencari-cari tukang kasut yang disebutkan dalam mimpinya dan akhirnya dia dapat mencari rumah tukang kasut itu. Apabila sampai di hadapan pintu rumah tukang kasut itu, maka Abdullah mengetuk pintu. Pintu pun di buka dan keluar seorang lelaki dari dalam.

Abdullah bertanya lelaki itu : "Apa nama saudara." Berkata lelaki itu :"Nama saya Muwaffaq." Abdullah bertanya : "Tolong terangkan kepadaku amalan apakah yang telah kamu lakukan sehingga mencapai darjat yang tinggi?"

Jawab Muwaffaq : "Sebenarnya aku ingin menunaikan haji, tetapi oleh sebab keadaanku, maka aku tidak dapat menunaikan haji. Tetapi dengan cara mendadak aku mendapat wang 300 dirham dari kerja menampal sepatu, lalu aku niat untuk berhaji pada tahun ini.

"Isteriku pula sedang hamil. Suatu hari isteriku tercium bau makanan dari rumah jiranku dan ia ingin memakan makanan yang terbau itu (mengidam), lalu aku pergi ke rumah jiranku dan aku ketuk pintu. Kemudian keluar seorang wanita, maka aku pun beritahu hajat isteriku itu kepadanya."

Jiranku itu berkata : "Oleh kerana kamu tidak tahu keadaanku maka aku terpaksa memberitahumu. Sebenarnya anak-anak yatim ku sudah tiga hari tidak makan. Oleh itu aku keluar mencari makanan. Sewaktu aku mencari makanan aku bertemu dengan bangkai himar, maka aku potong sebahagian dagingnya lalu aku masak, maka makanan ini adalah halal untuk kami dan haram untuk kamu."

Apabila aku dengar sahaja kata-kata wanita itu maka aku pulang ke rumah dan mengambil 300 dirham yang ada padaku lalu aku berikan kapada wanita itu dan aku katakan kepadanya : "Belanjakan wang ini untuk anak-anakmu. Dan aku berkata pada diriku : Hajiku di muka pintu rumah mu (Rumah jiranku) maka kemanakah aku akan pergi."

Wahai saudara-saudaraku, Allah tidak memandang pada harta yang kita miliki tetapi ia memandang pada niat yang suci.

Pernah orang bertanya kepada Rasulullah SAW : "Ya Rasulullah, tunjukkanlah padaku amal perbuatan yang mana bila aku amalkan akan masuk syurga."

Sabda Rasulullah SAW : "Jadilah kamu orang yang baik."
Orang itu bertanya lagi : "Ya Rasulullah, bagaimana aku boleh mengetahui bahawa aku ini telah berbuat baik?"

Sabda Rasulullah SAW :
"Tanyalah pada jiran tetanggamu, kalau mereka berkata kamu baik, maka baiklah kamu. Kalau mereka mengatakan kamu buruk, maka buruklah kamu."

Syarat Haji-Rukun Haji-Wajib Haji


Syarat Haji

Islam

Baligh (dewasa)

Aqil ( berakal )

Merdeka (bukan budak)

Istitha’ah (mampu)

Rukun Haji

Ihram (niat)

Wukuf di Arafah

Thawaf Ifadhah

Sa’i

Cukur

Tertib

Wajib Haji

Ihram yakni niat berhaji dari Miqot

Mabit di Muzdalifah

Mabit di Mina

Melontar Jumroh Ula, Wustho dan Aqobah

Thawaf Wada’

Salam.


Welcome to my blog.