Quick Views

Tuesday, October 20, 2009

Haji Yang Mabrur.


Setiap daripada jemaah haji yang baru selesai menunaikan ibadat rukun Islam yang kelima itu, pasti berdebar-debar untuk pulang ke pangkuan keluarga tercinta sejak ditinggalkan lebih sebulan lalu, dan debaran hati mereka bertambah kuat setelah melalui ujian getir ketika berada di tanah suci Makkah dan Madinah.

Setiap daripada jemaah haji yang baru selesai menunaikan ibadat rukun Islam yang kelima itu, pasti berdebar-debar untuk pulang ke pangkuan keluarga tercinta sejak ditinggalkan lebih sebulan lalu, dan debaran hati mereka bertambah kuat setelah melalui ujian getir ketika berada di tanah suci Makkah dan Madinah.

Pelaksanaan rukun-rukun haji telah pun selesai, ini bermakna mereka sudah boleh dilabelkan dengan gelaran haji di depan nama-nama mereka. Sesungguhnya gelaran haji itu merupakan satu penghormatan daripada manusia yang memanggil dengan gelaran itu. Ini kerana apabila seseorang itu bergelar haji, bertambahlah tanggungjawabnya terhadap masyarakat.

Sekurang-kurangnya mereka boleh bertindak sebagai 'role-model' dengan menunjukkan perilaku yang baik, bertutur dengan kata-kata yang manis, menegur-sapa orang-orang di sekeliling tanpa ada syarat tertentu, berbudi bahasa dan jauh daripada sebarang penggunaan kata-kata kesat yang boleh menyinggung perasaan saudara-saudara seagama yang lain.

Tetapi apakah mungkin seseorang yang sudah bergelar haji atau hajjah melakukan sesuatu yang terbaik, lebih baik daripada sebelum mereka ke tanah suci?

Ia bergantung kepada sejauh mana jemaah haji mendapat pengajaran daripada setiap langkah, perbuatan dan amalan haji ketika berada di sana. Kerana semua amal ibadat dan rukun-rukun haji yang dilakukan sebenarnya ada kaitan dengan persoalan akhirat, iaitu satu keadaan di mana ia mampu mengingatkan manusia untuk berhubung dengan Allah SWT selaku Pemilik hari akhirat dan kiamat, yang akan menghukum kepada siapa sahaja yang tidak tunduk kepada arahan-Nya dan melakukan segala tegahan-Nya.

Justeru, sekembalinya para jemaah haji daripada tanah suci Makkah dan Madinah, apatah diiringi dengan haji mabrur yang diterima di sisi Allah SWT, bagaikan mereka baru keluar (dilahirkan) daripada perut ibu-ibu mereka iaitu tidak berdosa, ia satu keadaan di mana mereka berpeluang untuk menebus segala kesalahan-kesalahan lalu. Ini kerana manusia tidak sepi daripada melakukan dosa, apatah lagi terhadap Allah, Rasul-Nya, kepada kedua ibu bapa, guru-guru, jiran-tetangga, sahabat-handai dan lain-lain.

Apa yang penting setelah bergelar haji, elakkan daripada terlibat dengan banyak duduk di kedai-kedai kopi iaitu satu keadaan sebelum mereka menunaikan fardu haji dengan bersembang pada perkara yang tidak banyak boleh membantu mereka nanti di alam akhirat dan kiamat.

Mereka perlu memikirkan bagaimana untuk banyak duduk di dalam rumah-rumah Allah seperti masjid, surau atau di tempat-tempat ceramah yang boleh mengingatkan mereka untuk terus bersiap sedia dengan bekalan-bekalan akhirat, banyak membaca al-Quran, mendengar kuliah atau tazkirah, bercakap pada perkara yang boleh menambahkan pahala, bukan menambahkan 'koleksi' dosa.

Memilih kawan-kawan yang baik-baik, apatah lagi yang boleh mengingatkan mereka kepada Allah sepertimana yang ditegaskan Allah dalam al-Quran menerusi ayat 28 surah al-Kahfi yang bermaksud : �Dan jadikanlah dirimu sentiasa berdamping rapat dengan orang-orang yang mengingatkan kamu kepada Tuhan pada waktu pagi dan petang, yang mengharapkan keredaan Allah semata-mata; dan janganlah engkau memalingkan pandanganmu daripada mereka hanya kerana engkau mahukan kesenangan hidup di dunia; dan janganlah engkau mematuhi orang yang Kami ketahui hatinya lalai daripada mengingati dan mematuhi pengajaran Kami di dalam al-Quran, serta ia menurut hawa nafsunya, dan tingkah-lakunya pula adalah melampaui kebenaran.�

Begitu juga mengelak diri daripada menampilkan diri di khalayak ramai dengan penampilan yang tidak boleh dijadikan contoh seperti memakai gelang tangan, berseluar pendek, membiarkan isteri dan anak-anak gadis tidak menutup aurat dan bertudung ketika berada di luar rumah, tidak menyokong manusia yang suka mempersenda Islam, memakai pakaian yang bersesuai dengan taraf seorang yang bergelar haji, ini tidak lain bagi mengekalkan kelangsungan pahala-pahala haji untuk tahun-tahun mendatang.

No comments:

Post a Comment